Followers

Wednesday, April 6, 2011

Saat kita diberi pilihan. Apa yang terbaik?

Begitu susah bagi kita untuk membuat keputusan sehari-harian dalam hidup lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan arah tuju kita atau lebih senang disebut masa depan kita. Keputusan dibuat oleh semua orang, setiap hari tanpa kita sedari. Dalam perkara sekecil-kecil seperti memilih menu untuk makan hingga la kepada membuat keputusan besar dan berisiko seperti dalam dunia perniagaan.

Tapi bagaimanakah kita dapat mengenal pasti bahawa pilihan yang kita pilih itu benar atau tidak? Adakah pilihan kita itu yang terbaik untuk diri kita? Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui.

Sebaik-baiknya bagi kita orang Islam adalah berdoa dan solat sunat istihara. Mohon kepada Yang Maha Esa supaya diberi pertolongan, dipermudahkan segala urusan, ditunjuki yang mana adalah terbaik buat kita. Jika kita berperang, sudah tentu kita akan memilih senjata paling kuat, paling canggih supaya dapat menjamin kita akan menang dalam peperangan. Tetapi sudah tentu kita sebagai orang Islam akan dalam kerugian jika kita tidak menggunakan senjata yang paling agung iaitu DOA!

Seringkali kita lalai dengan perkara duniawi sehingga mengabaikan Allah, Tuhan Pencipta kita. Kita sebagai hambaNya sering mengenepikanNya dalam urusan sehari-harian kita, tapi pernahkah kita berfikir jika sesaat pun Allah swt mengenepikan kita? Mengabaikan kita? Nauzubillah...

Bagi saya, semuanya telah ditetapkan oleh Allah swt, kita hanya perlu memohon dan berdoa supaya apa yang kita pilih itu mengikut kehendakNya dan tidak dihasut bisikan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan kita. Sesungguhnya Allah tidak menduga hambaNya dengan dugaan yang tidak mampu untuk hambaNya itu menahan. Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Janganlah kita mensia-siakan senjata kita iaitu DOA kita. Janganlah kita meminta-minta pada manusia sebelum kita meminta pada Allah swt. Rezeki itu disampaikan dalam pelbagai cara yang kita tidak ketahui. Maka tidak patutkah kita bersyukur dan hanya meminta pada Allah Tuhan yang Maha Esa?

Tuesday, March 8, 2011

Program Cuti Sekolah: Kami Dengar Kami Taat

Assalammualaikum kepada pembaca di luar, di sini saya ingin berkongsi dan ingin menjemput tuan-tuan dan puan-puan yang sedang mencari program yang boleh disertai oleh anak-anak di rumah pada musim cuti sekolah ini. Sebagai ibubapa sudah tentu kita mahukan anak-anak untuk meluangkan masa ke arah perkara yang berfaedah daripada terbuang sekadar duduk di rumah sahaja.

Di sini saya ingin menjemput kepada semua yang berumur di antara 13tahun sehingga 17tahun untuk sama-sama menghadiri Program Anjuran bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dan Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan. Maklumat program adalah seperti di bawah:

Nama Program: Kami Dengar Kami Taat Siri 1/2011
Tarikh: 17hb - 19hb March 2011
Tempat: Kompleks Masjid Tok Muar, Kuala Pilah
Masa Pendaftaran: 10.00pagi - 10.30pagi (17hb March 2011)
Bayaran: RM20.00 sahaja

Untuk pengetahuan semua, program ini telah dijalankan dengan jayanya pada tahun 2010. Program Kami Dengar Kami Taat ini bercirikan ketenteraan dan menerapkan nilai-nilai kemurniaan Islam dalam kehidupan seharian di samping memupuk disiplin diri. Pengisian program ini melibatkan aktiviti seperti berikut:




1. Praktikal Solat (Bacaan, rukun dll)
2. Menghafal Surah
3. Kawad Kaki
4. Paintball
5. Kelas Pengajian Agama
6. Kelas Motivasi Pelajar dan sebagainya

Kepada yang berminat sila hubungi pejabat Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan di talian 06-481 0092. Tempat adalah terhad kepada 20orang terawal sahaja.

Wednesday, February 23, 2011

Belajar Menjahit Secara Percuma

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca. Saya ingin berkongsi dan mencari peserta untuk program Kelas Jahitan yang dianjurkan oleh Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan seperti butiran berikut:


Program: Kursus Menjahit
Tempat: Pejabat Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan, No22a, Jalan Angkasaria, Taman Bukit Pilah Perdana, 72000 Kuala Pilah N.Sembilan
Hari: Setiap Sabtu & Ahad
Masa: 9.00pagi - 5.00petang

Kursus Menjahit seperti butiran di atas akan dimulakan pada bulan March dan dijangka berakhir pada bulan Ogos. Tujuan Kursus ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada golongan ibu untuk menjana pendapatan melalui kemahiran menjahit dan seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah. Tiada bayaran yang dikenakan dan semua yang berminat digalakkan untuk menghubungi kami di talian:

Pejabat: 06-4810092
Syahzlan - 0129723848

Saturday, January 29, 2011

Majlis Kesyukuran Meraikan Saudara Kita

Saudara kita atau lebih sinonim dengan panggilan saudara baru oleh masyarakat merupakan tanggungjawab kita sebagai saudara seagama untuk membimbing dan memberi semangat kepada mereka dalam hari-hari seperti baru dilahirkan di muka bumi ini bergelar seorang ISLAM.

Hasrat YKSNS untuk membina hubungan berterusan dan memastikan saudara kita ini mendapat pembelaan dan pembelajaran secukupnya berkenaan agama Islam yang bagi mereka sesuatu yang baru dalam hidup. Hasrat ini juga disokong kuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan bagi memastikan saudara kita sentiasa merasakan mereka tidak berseorangan dan mereka sentiasa mempunyai keluarga seIslam yang mengambil berat dan menjadi tempat pergantungan mereka sewaktu mereka masih lagi dalam tempoh atau proses pembelajaran untuk berdiri sendiri di masa akan datang.

Kita tidak boleh memandang ringan terhadap saudara kita ini kerana kita seharusnya membantu membimbing mereka agar mereka tidak terumbang ambing tanpa arah dan akhirnya menjurus kepada perbuatan memohon untuk keluar Islam (Murtad). Bagi mengelakkan perkara sedemikian daripada berlaku, kita harus bermula dengan langkah awal dengan berada bersama mereka dan memberitahu mereka bahawa kita sentiasa bersedia untuk menerima mereka.

Satu majlis untuk meraikan saudara kita ini akan diadakan pada:

Tarikh: 29hb Jan 2011
Tempat: Dewan Kuliah 2, Masjid Negeri, Negeri Sembilan
Masa: 6.00petang - 10.00malam

Diharap dengan penganjuran majlis seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan awal dalam menarik minat saudara kita ini untuk mendalami ilmu agama dan menjadi tempat untuk saudara kita ini untuk mengadu dan berlindung. InsyaAllah.