Followers

Thursday, April 7, 2011

Paintball Amal

Setelah lama menunggu kelulusan daripada pihak Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah, akhirnya dapat juga surat pengesahan untuk permohonan memperkenalkan sukan paintball kepada sekolah-sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Pilah.

Usaha ini merupakan langkah pertama dalam tahun 2011 untuk pengumpulan dan pencarian dana untuk menampung perbelanjaan segala aktiviti Yayasan Kasih Sayan Negeri Sembilan. Usaha pengumpulan dana ini membolehkan YKSNS untuk bergerak lebih aktif dalam kerja-kerja sukarela terutama dalam menjaga kebajikan saudara baru di Negeri Sembilan.

YKSNS menyedari kita perlu mempunyai dana sendiri untuk bergerak dalam kerja sukarela yang semakin diperlukan pada masa kini. Oleh itu telah terlaksana projek sukan paintball di mana YKSNS memperuntukkan sejumlah wang pendahuluan sebagai modal untuk memulakan perniagaan Paintball yang diberi nama YKSNS Paintball Jungle Park.

Meneruskan kesinambungan daripada kerja yang ditinggalkan staff dahulu, langkah yang diambil adalah dengan mengusulkan penubuhan Kelab Briged Inspirasi Remaja YKSNS di mana kelab ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan buat YKSNS malah ini juga merupakan langkah untuk mendekati remaja dan bersama-sama sebagai teman untuk membimbing remaja supaya tidak terjebak dengan gejala sosial yang semakin menjadi-jadi pada hari ini.

Diharap pihak sekolah di sekitar daerah Kuala Pilah dapat memberi kerjasama yang baik dalam merealisasikan impian murni Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan ini. Penubuhan Kelab ini akan membawa manfaat kepada ahlinya di mana ahlinya akan layak untuk menyertai:

a. Permainan Paintball
b. Kursus Motivasi & Kepimpinan
c. Bengkel Kemahiran
d. Lawatan Sambil Belajar
e. Perkhemahan
f. Aktiviti-aktiviti lain yang akan dirancang dari masa ke semasa

Kepada ibu bapa yang berminat untuk mendaftarkan anak-anak dalam Kelab Briged Inspirasi Remaja YKSNS ini boleh menghubungi saya (Muhammad Syahzlan Bin Abdullah) di talian 012-9723848.

InsyaAllah saya akan mula bergerak dari sekolah ke sekolah di sekitar Kuala Pilah untuk memanjangkan usul kepada pihak pentadbiran sekolah dan merangka apa-apa sahaja yang akan memberi manfaat kepada remaja-remaja pada masa kini.

Wednesday, April 6, 2011

Saat kita diberi pilihan. Apa yang terbaik?

Begitu susah bagi kita untuk membuat keputusan sehari-harian dalam hidup lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan arah tuju kita atau lebih senang disebut masa depan kita. Keputusan dibuat oleh semua orang, setiap hari tanpa kita sedari. Dalam perkara sekecil-kecil seperti memilih menu untuk makan hingga la kepada membuat keputusan besar dan berisiko seperti dalam dunia perniagaan.

Tapi bagaimanakah kita dapat mengenal pasti bahawa pilihan yang kita pilih itu benar atau tidak? Adakah pilihan kita itu yang terbaik untuk diri kita? Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui.

Sebaik-baiknya bagi kita orang Islam adalah berdoa dan solat sunat istihara. Mohon kepada Yang Maha Esa supaya diberi pertolongan, dipermudahkan segala urusan, ditunjuki yang mana adalah terbaik buat kita. Jika kita berperang, sudah tentu kita akan memilih senjata paling kuat, paling canggih supaya dapat menjamin kita akan menang dalam peperangan. Tetapi sudah tentu kita sebagai orang Islam akan dalam kerugian jika kita tidak menggunakan senjata yang paling agung iaitu DOA!

Seringkali kita lalai dengan perkara duniawi sehingga mengabaikan Allah, Tuhan Pencipta kita. Kita sebagai hambaNya sering mengenepikanNya dalam urusan sehari-harian kita, tapi pernahkah kita berfikir jika sesaat pun Allah swt mengenepikan kita? Mengabaikan kita? Nauzubillah...

Bagi saya, semuanya telah ditetapkan oleh Allah swt, kita hanya perlu memohon dan berdoa supaya apa yang kita pilih itu mengikut kehendakNya dan tidak dihasut bisikan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan kita. Sesungguhnya Allah tidak menduga hambaNya dengan dugaan yang tidak mampu untuk hambaNya itu menahan. Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Janganlah kita mensia-siakan senjata kita iaitu DOA kita. Janganlah kita meminta-minta pada manusia sebelum kita meminta pada Allah swt. Rezeki itu disampaikan dalam pelbagai cara yang kita tidak ketahui. Maka tidak patutkah kita bersyukur dan hanya meminta pada Allah Tuhan yang Maha Esa?

Tuesday, March 8, 2011

Program Cuti Sekolah: Kami Dengar Kami Taat

Assalammualaikum kepada pembaca di luar, di sini saya ingin berkongsi dan ingin menjemput tuan-tuan dan puan-puan yang sedang mencari program yang boleh disertai oleh anak-anak di rumah pada musim cuti sekolah ini. Sebagai ibubapa sudah tentu kita mahukan anak-anak untuk meluangkan masa ke arah perkara yang berfaedah daripada terbuang sekadar duduk di rumah sahaja.

Di sini saya ingin menjemput kepada semua yang berumur di antara 13tahun sehingga 17tahun untuk sama-sama menghadiri Program Anjuran bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dan Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan. Maklumat program adalah seperti di bawah:

Nama Program: Kami Dengar Kami Taat Siri 1/2011
Tarikh: 17hb - 19hb March 2011
Tempat: Kompleks Masjid Tok Muar, Kuala Pilah
Masa Pendaftaran: 10.00pagi - 10.30pagi (17hb March 2011)
Bayaran: RM20.00 sahaja

Untuk pengetahuan semua, program ini telah dijalankan dengan jayanya pada tahun 2010. Program Kami Dengar Kami Taat ini bercirikan ketenteraan dan menerapkan nilai-nilai kemurniaan Islam dalam kehidupan seharian di samping memupuk disiplin diri. Pengisian program ini melibatkan aktiviti seperti berikut:




1. Praktikal Solat (Bacaan, rukun dll)
2. Menghafal Surah
3. Kawad Kaki
4. Paintball
5. Kelas Pengajian Agama
6. Kelas Motivasi Pelajar dan sebagainya

Kepada yang berminat sila hubungi pejabat Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan di talian 06-481 0092. Tempat adalah terhad kepada 20orang terawal sahaja.