Followers

Saturday, January 29, 2011

Majlis Kesyukuran Meraikan Saudara Kita

Saudara kita atau lebih sinonim dengan panggilan saudara baru oleh masyarakat merupakan tanggungjawab kita sebagai saudara seagama untuk membimbing dan memberi semangat kepada mereka dalam hari-hari seperti baru dilahirkan di muka bumi ini bergelar seorang ISLAM.

Hasrat YKSNS untuk membina hubungan berterusan dan memastikan saudara kita ini mendapat pembelaan dan pembelajaran secukupnya berkenaan agama Islam yang bagi mereka sesuatu yang baru dalam hidup. Hasrat ini juga disokong kuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan bagi memastikan saudara kita sentiasa merasakan mereka tidak berseorangan dan mereka sentiasa mempunyai keluarga seIslam yang mengambil berat dan menjadi tempat pergantungan mereka sewaktu mereka masih lagi dalam tempoh atau proses pembelajaran untuk berdiri sendiri di masa akan datang.

Kita tidak boleh memandang ringan terhadap saudara kita ini kerana kita seharusnya membantu membimbing mereka agar mereka tidak terumbang ambing tanpa arah dan akhirnya menjurus kepada perbuatan memohon untuk keluar Islam (Murtad). Bagi mengelakkan perkara sedemikian daripada berlaku, kita harus bermula dengan langkah awal dengan berada bersama mereka dan memberitahu mereka bahawa kita sentiasa bersedia untuk menerima mereka.

Satu majlis untuk meraikan saudara kita ini akan diadakan pada:

Tarikh: 29hb Jan 2011
Tempat: Dewan Kuliah 2, Masjid Negeri, Negeri Sembilan
Masa: 6.00petang - 10.00malam

Diharap dengan penganjuran majlis seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan awal dalam menarik minat saudara kita ini untuk mendalami ilmu agama dan menjadi tempat untuk saudara kita ini untuk mengadu dan berlindung. InsyaAllah.
 

Thursday, January 20, 2011

Islam Itu Agamaku

Ramai di kalangan saudara Muslim pada masa kini sudah lupa akan apakah yang dimaksudkan dengan sebenar-benarnya beragama Islam. Ternyata betul percakapan sesetengah orang berkenaan "Islam" itu hanya perkataan yang terletak pada Kad Pengenalan mahupun hanya menjadi agama yang diikuti kerana sebaik dilahirkan sudah beragama Islam (mengikuti agama ibubapa).

Bagaimana pula dengan yang tidak dilahirkan sebagai Islam? Mereka sudah pasti hanya menganuti ajaran yang dibawa sejak nenek moyang mereka lagi. Mereka tidak bertuah seperti kebanyakan yang sememangnya dilahirkan beragama Islam. Tetapi adakah kita menghargai dan menjaga agama kita? Adakah kita rasa bersyukur dengan hidup dan dilahirkan sebagai Islam? Sama-sama kita renungkan...

Satu lagi fenomena yang kita lihat sekarang menjadi budaya negatif di kalangan orang-orang Islam di Malaysia adalah mereka tidak mengalu-alukan kedatangan saudara baru yang menjadi sebahagian daripada kita. Sepatutnya kita meraikan kedatangan mereka. Jika tidak dapat diraikan cukup sekadar gembira dengan berita tersebut dan mengucapkan tahniah. Ini tidak, terbalik pula jadinya... Kita pula yang menjadi penghalang dan bukannya menjadi dorongan kepada mereka. Kita berperasangka buruk dan menganggap mereka itu memeluk agama Islam kerana bersebab samada isu duit, kahwin dan sebagainya. Kita harus buang buruk sangka tersebut kerana bukan setiap orang yang beruntung diberikan hidayah daripada Allah swt untuk berada di jalan yang benar. Tidak kira la sebab apa mereka memeluk Islam, kita sebagai saudara seagama mereka sepatutnya menghulurkan bantuan dan membantu dari segi pemantapan aqidah, ibadah, kebajikan dan sebagainya.

Kita sepatutnya memikirkan jika kita berada di tempat mereka. Mereka sudah melepaskan segala-galanya dengan mengambil langkah untuk memilih agama. Jadi kita seharusnya menyokong mereka. Menjadi tempat rujukan mereka, bukannya berperasangka buruk terhadap mereka. Mereka meninggalkan agama anutan mereka selama ini dan  memilih Islam kerana telah mendapat hidayah daripada Allah swt. Sudah menjadi tugas kita untuk membimbing mereka supaya berada di jalan yang benar. Bukannya membiarkan mereka terumbang ambing tanpa haluan dan panduan. Astagfirullah... Bahkan ada saudara baru yang memohon untuk keluar daripada Islam kerana mereka ini tidak disampaikan dengan ajaran yang betul dan dibiarkan begitu sahaja.

Sedarkah kita yang giat membantu mereka dan cuba menyesatkan mereka dengan cara yang halus adalah orang-orang beragama lain? Tidakkah kita merasa bertanggungjawab terhadap hal ini? Atau dibiarkan sahaja mereka ini murtad? Kerana orang Islam tiada untuk membantu? Atau kerana kita tidak ada dana? Jika begitu apa pula fungsi Jabatan Agama Islam di setiap negeri? Jangan hanya meletakkan tanggungjawab ini di bahu mereka yang bekerja di jabatan agama tapi tepuk dada tanya hati apa yang telah kita buat untuk agama.

Saya berharap kita sama-sama la mengubah cara pandangan kita terhadap saudara baru dan mulakan dengan mengalu-alukan mereka seperti ahli keluarga kita bahkan Islam menggalakkan kita untuk berkasih sayang antara satu sama lain asalkan menjaga batas-batas yang telah ditetapkan. Hanya Allah yang Maha Mengetahui...

Thursday, January 13, 2011

Bengkel Pengurusan Strategik & Family Day YKSNS 2011

Untuk pengetahuan semua, bagi merancang dan menyusun semula aktiviti tahunan YKSNS, satu Bengkel Pengurusan Strategik akan diadakan pada:

Tarikh: 14, 15 & 16hb Jan 2011
Tempat: Mayangsari Resort, Port Dickson

Bengkel Pengurusan Strategik ini diharap dapat memperkemaskan gerak kerja YKSNS sebagai satu badan pertubuhan kebajikan NGO di Negeri Sembilan. Bengkel ini juga diharap dapat memperbaiki lagi kelemahan dan mengatasi masalah-masalah yang dihadapi pada tahun-tahun sebelum ini.

Selain daripada Bengkel Pengurusan Strategik, bagi menjimatkan kos, YKSNS turut akan mengadakan Family Day 2010 bersama semua pelatih-pelatih asrama agar dapat mengeratkan hubungan dan membawa pelatih-pelatih asrama  merehatkan minda.

Diharap dengan penyusunan program seperti ini dapat memperkukuh dan membawa YKSNS ke satu tahap yang lebih berkesan dalam melakukan tugasan harian dengan moto: MENJANA MASYARAKAT PRIHATIN DAN PENYAYANG.

Saturday, January 8, 2011

Blog Rasmi: Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan

Pada semua pembaca yang sentiasa mengikuti perkembangan Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKSNS), saya ingin meminta maaf kerana lambat untuk membuat pemberitahuan secara rasmi kerana blog terdahulu YKSNS tidak lagi digunakan atas sebab email pemilik blog iaitu En Adnan sendiri telah disalahguna dan diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Blog yang terdahulu iaitu YKSN9 tidak lagi digunakan dan telah bertukar ke YKS Negeri Sembilan. Diharap semua pembaca dapat mengikuti perkembangan semasa Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan.

Pejabat YKSNS - 06-4810092
Fax                     - 06-4810576

Friday, January 7, 2011

KP Paintball Tournament 2011

Seperti tajuk di atas, YKSNS Paintball Jungle Park dengan kerjasama Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan akan mengadakan pertandingan paintball tahunan yang akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 5, 12, 19, 26 Februari & 5 March 2011
Tempat: Tapak PaintBall YKSNS, Jalan Bukit, Kuala Pilah
Masa: 9.00pagi - 3.00petang
Bayaran: RM150 per team (6orang) - 500 pallets akan diberikan


Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk menjalin kerjasama antara badan kerajaan, swasta dan juga golongan belia. Kerjasama ini diharap dapat mempertingkatkan lagi jalinan rangkaian kerja dan komunikasi antara semua pihak yang terlibat.

*Hadiah pemenang:
Tempat pertama - RM600.00 + Piala Pusingan + Medal + Sijil + Hamper
Tempat kedua - RM450 + Medal + Sijil + Hamper
Tempat ketiga - RM300 + Medal + Sijil + Hamper

*Sijil penyertaan akan diberikan kepada semua peserta yang menyertai KP Paintball Tounament.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila hubungi:
Pejabat - 06-4810092
Syahzlan - 012-9723848

Tuesday, January 4, 2011

Proses Memeluk Agama Islam

Sesungguhnya mana-mana umat yang kembali ke jalan Allah swt, Allah akan mengampunkan dosanya seolah-olah dia baru dilahirkan di dunia ini. Itulah yang ayat yang sering saya dengan apabila saya memeluk Islam 5 tahun dahulu. Pada masa itu banyak kekurangan yang dihadapi akibat kurang kesedaran dan bantuan daripada mana-mana pihak tidak kira dari segi pendaftaran mahupun bimbingan. Tapi alhamdulillah Allah swt menunjukkan saya jalan yang lurus dengan menemukan saya kepada Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan di mana Badan Kebajikan Dakwah ini banyak membantu mengurus dan juga membimbing saudara baru di Negeri Sembilan khususnya.

Saya amat bersyukur kehadrat Illahi dengan limpah kurnia nikmat dan petunjukNya saya dapat menjadi diri saya sekarang. Dahulu saya dibantu orang melalui Allah swt, dan kini saya ingin menjadi orang yang membantu kepada sesiapa yang memerlukan bantuan saya selagi mampu di luar sana. InsyaAllah...

Pada semua masyarakat Malaysia yang sudah dibuka hati untuk memeluk Islam mahupun saudara baru di Negeri Sembilan khususnya, saya bersedia memberikan pertolongan selagi mampu. Terdapat beberapa proses dalam memeluk agama Islam yang wajib dilakukan oleh setiap orang yang ingin memluk agama Islam. Saya akan menceritakan selanjutnya proses-proses tersebut selepas ini. Janganlah risau melihat proses yang akan dinyatakan kerana saya akan membimbing anda daripada awal sehinggalah anda boleh berdikari sendiri, bak kata orang putih from A-Z. Anda dialu-alukan untuk menghubungi saya jika anda mempunyai sebarang kemusykilan dan masalah yang boleh saya bantu untuk sama-sama kita beriktihar menyelesaikan masalah tersebut. Sila hubungi saya di talian berikut:

Muhammad Syahzlan Bin Abdullah
012-9723848
Pegawai YKSNS

Berikut merupakan Urusan Kemasukan Islam Di Negeri Sembilan:

Arahan Peraturan-peraturan Pentadbiran Bil. ( 19) dlm. PANS. 196(06)622/1 bertarikh 16 Disember 2010 bersamaan dengan 10 Muharram 1432 H

Dokumen yang diperlukan
  • Gambar 8 keping ( ukuran lesen memandu )
  • Salinan kad pengenalan atau pasport
  • Surat kebenaran ibu bapa atau penjaga yang sah ( perintah mahkamah ) sekiranya di bawah umur
  • Borang saksi ( jika ada )
Pengakuan Memeluk Agama Islam secara sukarela dan rela hati

Borang yang perlu dipenuhkan

  • Borang Maklumat
  • Borang Ikrar
  • Borang Akuan
  • Borang Senarai Semak
  • Borang Saksi ( jika ada )
  • Surat kebenaran penjaga ( jika berkenaan )
Mendapatkan penerangan kesan memeluk agama Islam kepada penama

  • Setelah memeluk agama Islam, penama tidak boleh meninggalkan agama Islam
  • Perkahwinan dahulu yang dilakukan oleh pemohon terbatal jika salah seorang enggan memeluk Islam dalam tempoh iddah
  • Perkahwinan yang terdahulu hanya perlu didaftarkan di JHEAINS jika pemohon dan pasangan memeluk Islam bersama dalam tempoh Iddah
Sekiranya penama di bawah umur hendaklah memperolehi surat kebenaran ibu bapa dan penjaga yang mendapat hak penjagaan ( perintah mahkamah )

Lelaki atau wanita yang telah berumur 65 tahun ke atas hendaklah mendapatkan surat pengesahan doktor mengenai tahap kesihatan

Pemohon yang berumur 18 tahun ke atas, rela hati memeluk agama Islam dan membawa dokumen yang lengkap hendaklah diuruskan pengIslamannya

Penama hendaklah diajar 2 kali syahada dalam bahasa Arab dan diterangkan maksud 2 kalimah syahadah itu

Setelah itu penama hendaklah membaca Ikrar Orang Yang Memeluk Agama Islam agar faham tanggungjawabnya sebagai seorang muslim

Setelah disyahadahkan sebaik-baiknya dibacakan doa selamat

Maklumkan kepada penama mengenai Mandi Sunat Masuk Islam, Mandi Wajib, Mandi Sunat Taubat

Berikan penama bahan-bahan bacaan, keperluan solat dan jadual kursus

Pastikan dokumen sementara memeluk agama Islam diserahkan kepada pemohon sebagai bukti pengislamannya.

Mengenali Islam dan Mendekati Islam

Adakah anda yang saya maksudkan...
1. Berminat untuk mengetahui Islam
2. Ingin tahu mengenai ajaran Islam itu sendiri
3. Ingin belajar tetapi tiada tempat
4. Hanya sekadar mahu mengenali masyarakat Islam

Jika anda orang yang dimaksudkan, anda dijemput untuk menghadiri Program Mengenali dan Memahami Islam Islam yang akan diadakan setiap minggu.. Untuk maklumat lanjut sila baca blog entry berikut: Program Mengenali dan Memahami Islam. Program ini adalah percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Forum Bicara Islam

Muslimin dan Muslimat dijemput untuk menghadiri Program Forum Bicara Islam yang akan diadakan Dataran Seremban pada :

Tarikh: 8 hb Januari 2011
Tempat: Dataran Seremban
Masa : 9.00 malam

Ahli Panel


Y Bhg Ustaz Nor Azamir bin Haji Alias
( Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan )

Y Bhg Ustaz Haji Muhammad Fitri bin Abdullah
( Pendakwah Perkim Kebangsaan )

Y Bhg Tuan Haji Jaafar bin Muhammad
( Penasihat Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan )


Moderator


Y Bhg Tuan Haji Najib bin Khairuddin
Ketua Pegawai Eksekutif
Tabung Wakaf Kesihatan 


Muslimin dan Muslimat dijemput hadir

Tel:- 

06-678 1021/06-4810092
012 623 1519