Followers

Tuesday, May 31, 2011

Kadet Sukarelawan Dakwah YKSNS

Warganegara Malaysia yang berkelayakan dipelawa untuk mengisi kekosongan Jawatan Kadet Sukarelawan Dakwah di Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan. Mereka yang terpilih akan diberikan taklimat tugas dan tanggungjawab. Untuk makluman, perkhidmatan Kadet Sukarelawan Dakwah ini terbuka kepada lepasan STPM ataupun Universiti yang masih belum berkhidmat dengan mana-mana agensi kerajaan ataupun swasta. Kadet Sukarelawan Dakwah ( KDS ) adalah skim sokongan kepada graduan sementara mereka mendapat pekerjaan tetap ataupun melanjutkan pelajaran. Mereka yang terpilih akan diberikan Elaun Perkhidmatan bulanan berdasarkan kemahiran dan kebolehan.
Jika berminat sila kemukakan permohonan dengan menyertakan sijil-sijil berkaitan dan sekeping gambar ukuran pasport. Permohonan boleh diemailkan ke yksnegerisembilan@gmail.com.
Kepada sesiapa yang ingin tahu lebih lanjut berkenaan Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan, anda boleh layari www.yksnegerisembilan.com atau hubungi kami di talian 06-481 0092.

Wednesday, May 25, 2011

Pembukaan Kelas Jahitan Sesi July - Disember 2011

Buat semua suri rumah, ibu tunggal atau remaja di kalangan wanita di sekitar Negeri Sembilan yang berminat untuk menyertai kelas jahitan anjuran bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan, anda boleh menghubungi kami di talian 06-4810092 atau 012-9723848.

Kelas Jahitan ini diwujudkan bagi menggalak khususnya golongan ibu tunggal atau suri rumah untuk menjana pendapatan sampingan untuk keluarga. Kelas Jahitan ini akan dijalankan bersesuaian seperti di tempat pengajian berdaftar yang lain. Tiada yuran pengajian yang akan dikenakan dan pelatih-pelatih yang menamatkan pengajian akan diserap menjadi pekerja sambilan apabila menerima tempahan dari luar.

Tuesday, May 10, 2011

Tabah Hati Seorang Anak

Hari ini saya menyaksikan sendiri kejadian keluarga yang biasa hanya dapat kita lihat dalam drama bersiri di kaca television. Ketabahan seorang anak yang tidak pernah merungut dengan nasib kehidupan sebegini rupa. Sedangkan kita hanya diuji dengan sedikit dugaan Allah, mula merungut dan membantah.

Bila ditanyakan bagaimana hidup? Makan minum semua cukup? Si anak ini cuma tersenyum, tidak pernah merungut atau meminta lebih. Sanggup berjalan kaki setiap hari 20min - 30min untuk ke stesyen bas dan menaiki bas selama 15min - 20min hanya semata-mata untuk ke sekolah dan menimba ilmu. Betapa tabah hati anak ini melalui liku-liku kehidupan. Jika dugaan itu datang ke atas diri saya, terdiam dan tidak mampu untuk saya berbuat apa-apa, malahan belum tentu saya setabah anak ini.


Mengambil gambar di sebelah sebagai contoh, keberanian anak kecik ini tidak dapat kita tandingi. Melihat lawan / dugaan di hadapan menyedari kesusahan, rintangan dan kepahitan namun tetap bersedia dan bertarung untuk menjadi yang terbaik.

Sedih saya melihat nasib anak ini, dibawa ke sana, ke mari tetapi tidak mendapat apa yang sepatutnya menjadi haknya. Sungguhpun demikian, hanya senyuman yang diberikan setiap kali diajukan soalan berkenaan nasibnya.

Mohon pada semua pembaca, sama-sama mendoakan usaha YKSNS untuk mendapat hak hadanah kekal ke atas anak-anak ini supaya mereka dapat apa yang sepatutnya menjadi hak mereka sejak dahulu lagi terutamanya kasih sayang, pendidikan, keselamatan dan perhatian.

Diharap semua urusan dapat dipermudahkan dan usaha murni ini dapat mencapai keputusan yang terbaik buat anak-anak ini. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang telah diatur untuk anak-anak ini.

Friday, May 6, 2011

Laman WEB Rasmi YKSNS

Dalam menjalankan perkhidmatan di zaman teknologi maklumat ini, Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKSNS) menyedari kepentingan untuk berada di hujung jari setiap individu yang mahu menerima perkhidmatan mahupun mengenali YKSNS secara lebih dekat.

Oleh yang demikian, satu usaha menaik taraf laman web YKSNS yang sebelum ini sekadar membuat blog sahaja. Bahagian Teknikal YKSNS yang diuruskan oleh saudara Muhammad Izzuddin Bin Kamal telah mengambil tindakan untuk membeli hosting dan domain khas untuk YKSNS dan masih dalam usaha menaik taraf.

Kepada semua staff, pelatih, pelawat, pelanggan mahupun rakan kerja YKSNS yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan YKSNS, anda akan mempunyai akses yang lebih mendalam dalam tempoh masa terdekat dengan melayari www.yksnegerisembilan.com

Pertandingan Futsal Remaja Cemerlang II

Satu lagi usaha mendekati remaja adalah melalui kaedah sukan. YKSNS melihat futsal sebagai salah satu penarik masa kini untuk mengumpulkan remaja-remaja lelaki khususnya supaya terlibat dengan aktiviti sihat dan menghindari dari melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Melalui penganjuran pertandingan seperti ini juga menjadi batu loncatan buat YKSNS untuk mengumpulkan maklumat remaja di sekitar Kuala Pilah supaya aktif dan terlibat dengan program-program anjuran YKSNS di masa akan datang.

Bagi yang berminat untuk menyertai pertandingan futsal ini maklumat adalah seperti berikut:

Tema: Pertandingan Futsal Remaja Cemerlang II
Tarikh: 25hb Jun 2011
Tempat: Gelanggang Futsal, Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah
Masa: 8.00pagi - 5.00petang
Yuran: RM35

Hadiah-hadiah pemenang:
  • Tempat Pertama: Wang Tunai RM200, Hadiah Iringan beserta medal
  • Tempat Kedua: Wang Tunai RM150, Hadiah Iringan beserta medal
  • Tempat Ketiga: Wang Tunai RM100, Hadiah Iringan beserta medal


Bagi semua pasukan berdaftar akan menerima saguhati iringan. Pertandingan terhad kepada 16 pasukan (7orang sepasukan) terawal sahaja. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
  • 012-9723848 (Syahzlan)
  • 06-4810092 (Pejabat YKSNS).


Thursday, May 5, 2011

Perkongsian di Radion IKIM.fm

Beberapa minggu yang lepas, saya diberi kesempatan untuk berkongsi dengan saudara seIslam dan rakan pendengar di radio IKIM.FM untuk menceritakan pengalaman dan perkongsian kehidupan bergelar seorang Muslim sebelum dan selepas. Di dalam slot yang diberikan tajuk "Islam Agamaku" yang dikendalikan oleh Ustaz Zamri berlangsung selama 45min.

Ini adalah pengalaman manis dan pertama kalinya saya diberi peluang untuk hadir ke station radio sendiri yang kebiasaannya kita hanya mendengar daripada radio samada di rumah atau di dalam kereta sahaja. Perkongsian yang lebih saya ceritakan adalah latar belakang keluarga, ketika masuk Islam, pembelajaran ilmu agama dan pengalaman serta kerja bersama Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan.

Bersama YKSNS, saya terlibat secara langsung dalam pengumpulan atau penjanaan dana kerana dana ini lah yang menyokong gerakan dakwah YKSNS. Alhamdulillah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menjadi salah satu agensi yang menyokong gerakan YKSNS dan juga NGO lain di Negeri Sembilan.

Tetapi dengan perubahan arus masa ke zaman yang lebih maju ini, YKSNS melihat kami perlu mempunyai dana sendiri supaya dapat bergerak dengan lebih luas dan dapat menyasarkan golongan yang lebih besar berbanding sekarang. Oleh itu, idea untuk mewujudkan penjenamaan produk YKSNS seperti sabun herba asli telah diperkenalkan agar dapat menarik lebih banyak orang untuk menyumbang bersama YKSNS. Membeli sambil beramal, itulah konsep yang dipegang.

Skop penjanaan dana tidaklah bergantung kepada jualan produk sahaja, kami juga menyediakan sukan permainan paintball yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Paintball merupakan salah satu sukan yang sedang berkembang di Malaysia tetapi masih ramai yang belum tertarik dengan sukan paintball ini. Ramai yang khuatir dengan keselamatan kerana sukan paintball ini dilihat sebagai satu sukan yang lasak. Tetapi pada yang ingin mencuba anda tidak perlu merasa takut kerana ciri-ciri keselamatan seperti pelindung muka dan sebagainya dibekalkan untuk bermain sukan paintball ini. Malah terdapat marshall atau bahasa mudah pengadil yang sentiasa mengawasi gerak-gerak pemain ketika bermain permainan paintball. Peraturan-peraturan paintball itu sendiri menjadi satu ciri keselamatan yang melindungi pemain.

Kepada pembaca yang ingin mengetahui berkenaan Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan dengan lebih lanjut, anda boleh layari www.yksnegerisembilan.blogspot.com atau menghubungi pejabat di talian 06-481 0092. Kami mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan bersama kami dalam usaha murni di Negeri Sembilan ini.

Pada yang berminat untuk menyumbang, sumbangan anda boleh dibuat terus ke akaun:

Bank Islam Malaysia Berhad
Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan
05021010019276